1. Kelmarin saya menonton rancangan berita di TV3. Saya sangat tertarik dengan kisah seorang remaja lelaki yang berusia 19 tahun di England yang menjadi jutawan hanya dengan menjual jem buatannya di dapur rumah.
2. Mengikut berita berkenaan remaja tersebut bermula dengan membantu neneknya membuat pelbagai jenis jem ketika berusia 14 tahun lagi. Dari situ beliau mula menjual jem-jem tersebut di sekitar kawasan perumahan mereka.Kini jem keluarannya menjadi jenama pilihan di England dan juga di Amerika Syarikat.
3. Kisah sebegini sepatutnya menjadi pendorong muda-mudi kita supaya menceburi bidang perniagaan. Tidak kira berapa kecil sesuatu perniagaan itu sekiranya dilakukan dengan penuh minat dan disiplin yang tinggi pasti akan mendatangkan kejayaan.
4. Berbalik kepada kepada kisah remaja tersebut, kejayaannya banyak didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap pembuatan jem dan masakan. Ini ditambah lagi dengan sokongan padu ibubapanya yang ingin melihat anaknya berjaya sehingga mampu meraih pendapatan jutaan ringgit.
5. Di Malaysia untuk mendapat pendapat yang agak selesa kira-kira RM3000 sebulan bukanlah sukar sebenarnya.Sebagai contoh anda menjual sebiji kek yang berharga RM40 dan mendapat keuntungan kira-kira RM20. Sehari anda hanya perlu pastikan dapat menjual 5 biji kek, bermakna anda mendapat keuntungan RM100. RM100 x 30hari bermakna anda mendapat pendapatan RM3000!
6. Tidak sukarkan? Tetapi anda perlu memastikan kek yang anda jual mempunyai keistimewaan dan lain dari yang lain. Dalam kes ini, anda hanya perlu mencari kira-kira 150 pelanggan sahaja dan dengan perkhidmatan yang tip-top pelanggan ini akan menjadi pelanggan tetap setiap bulan. Itu belum lagi ditambah pelanggan baru dan permintaan yang bertambah pada setiap musim perayaan dan musim perkahwinan.
7. Mungkin di atas kertas ia kelihatan mudah tetapi realiti mungkin tidak semudah itu. Bagi memastikan kejayaan setiap perniagaan, anda harus melengkapkan diri dengan teknik dan strategi pemasaran yang baik lagi berkesan.Yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tak akan datang melayang; kalau tak dipecahkan ruyung tak akan dapat sagunya.
8. Oleh yang demikian sempena tahun baru 2009 ini saya berharap lebih ramai remaja melayu menceburi bidang perniagaan dan menimba ilmu yang diperlukan bagi memantapkan kemahiran 'marketing' masing untuk mencapai kejayaan. Tapi yang paling penting ceburi perniagaaan yang menjadi minat anda. Akhir kata SELAMAT TAHUN BARU 2009.
Wednesday, December 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment