Tuesday, January 6, 2009

Darah Mengalir Di Bumi Gaza

1. Di kala dan saat ini beribu-ribu nyawa orang-orang Islam berada di hujung tanduk di Gaza. Bila-bila masa sahaja nyawa boleh melayang, kecederaan menimpa dan kehilangan tempat bergantung. Malah di mana-mana saja terdapat jerat-jerat menunggu mangsa oleh bedilan semberono Israel.
2. Apa yang mampu kita lakukan? Membantu dengan senjata, tidak mungkin sama sekali. Rasanya sudah tidak sanggup menonton tv maupun membaca suratkhabar tentang angka korban dan kecederaan yang menimpa. Dunia seolah buta,bisu dan tuli. Mana perginya NGO dan pejuang hak asasi manusia yang kerap bersuara tentang hak-hak asasi manusia terutama di negara dunia ke tiga?
3. Selain dari berdoa kepada Allah semoga Israel diturunkan bala, ada baiknya juga kita bersatu seperti yang dicadangkan oleh mantan PM Malaysia Tun Mahathir serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia supaya memboikot barang Israel dan kunco-kunconya terutama sekali Amerika Syarikat.
4. Boikot kecil-kecilan ini jika dilakukan secara kolektif tetap dapat memberi kesan kepada pendapatan mereka untuk membiayai senjata-senjata moden dan canggih yang digunakan untuk membinasakan Palestine. Ayuh, mulakan sekarang. Boikot produk seperti Coca-cola, Pepsi, Mc Donald, KFC, Pizza Hut,dan banyak lagi.
5. Mungkin akibat boikot ini akan juga menjejaskan umat Islam yang bekerja di premis-premis tersebut tetapi ini adalah pengorbanan kecil yang perlu dibuat untuk sumbangan jihad.Beli barangan buatan tempatan!!!

Artis Melayu

1. Sudah seminggu kita menyusuri tahun 2009 dan pastinya banyak cabaran yang menanti terutama di bidang ekonomi yang dijangkakan agak malap sepanjang tahun ini.
2. Dalam kesibukan mengharungi aktiviti harian saya tertarik untuk mencurahkan pendapat tentang dunia artis di negara kita. Almaklumlah terlalu banyak cerita yang disogokkan kepada pembaca terutama di dada-dada akhbar di hujung minggu.
3. Kisah perkahwinan Mawi nampaknya masih tidak selesai lagi. Nampaknya inilah majlis perkahwinan artis yang paling 'hebat' lebih satu bulan satu malam. Sewaktu coretan ini ditulis, dengarnya persiapan untuk majlis di sebuah hotel di Sg Besi sedang rancak dijalankan. Tak kisahlah, asalkan mereka bahagia dan harapkan pandai-pandailah melayari alam rumahtangga. Jangan nanti jika ada masaalah kecil pun 'kecoh' satu bulan pula.
4. Baru-baru ini kecoh kisah seorang penyampai berita tv swasta dan seorang penyanyi wanita ditahan gara-gara 'pesta seks' sempena tahun baru. Agak pelik seorang yang berketurunan melayu beragama Islam boleh terlibat dengan perkara-perkara sebegini.Mungkin nak ikut cara mat salleh sambut tahun baru kot! Tapi seingat saya semasa menuntut di Australia dalam tahun 80an dulu 'mat salleh' sendiri pun taklah seberani begini. Saya masih teringat bagaimana keluarga angkat 'mat salleh' saya meraikan sambutan harijadi (happy birthday) cukup sekadar mengadakan majlis makan malam untuk kawan-kawan terdekat.Ini membuatkan saya 'termalu' sendirian mengenangkan bagaimana ada rakan-rakan dan saudara terdekat yang siap terkinja-kinja menari sempena majlis harijadi.
5. Saban hari di televisyen dan akhbar tersiar gambar-gambar artis melayu (perempuan) berpakaian menjolok mata. Baik sempena festival filem dan ntah apa-apa lagi, semuanya berlumba-lumba menayangkan aurat masing-masing. Berhibur, memang semua orang suka berhibur tetapi biarlah berpada. Saya bukanlah seorang yang anti hiburan. Malah saya memang gemar menyanyi dan berkaraoke.
6. Sebagai umat Islam setiap orang harus ingat-mengingati antara satu sama lain.Adakalanya saya terpaksa berdebat dengan anak-anak perempuan saya tentang pakaian artis-artis idola mereka. Moral of the story, jagalah penampilan masing-masing kerana sebagai artis anda adalah contoh pada para peminat.
7. Adakalanya para artis tidak boleh dipersalahkan 100%. Pihak media seperti tv, majalah dan suratkhabar juga memainkan peranan yang penting. Banyak kes, petugas-petugas yang berurusan dengan para artis sendiri yang mengalakkan artis-artis wanita ini (terutama yang mentah) berpakaian sedemikian dengan tujuan untuk melariskan produk masing-masing. Cukuplah tu, jangan menjadi penyumbang kepada kejatuhan moral.
8. Satu lagi yang merimaskan saya tentang soalan-soalan provokatif yang diajukan oleh wartawan kepada artis-artis.
Sebagai contoh soalan begini, "Anda sekarang berkawan dengan si A?" - Kawan biasa je. "Tak ade perasaan sayang ke?" - Perasaan sebagai kawan jelah. "Lagu yang u buat tu untuk A ya?" - Tak , lagu tu universal untuk semua orang. "Takkanlah tak ada kaitan langsung dengan hubungan anda dengan A?"
- Tak. "Langsung tak ada perasaaan?" Bla.. Bla.. Bla...
Tolonglah, tanyalah soalan-soalan yang cerdik sikit. Malu pada kanak-kanak sekolah!