Friday, December 26, 2008

Amanah

1. Emak saya sedang menunaikan ibadah haji tatkala nukilan ini ditulis. Alhamdulillah, beliau dapat menunaikan ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan pada tahun ini selepas tiga kali rayuan yang dikemukakan kepada Tabung Haji ditolak. Mengikut kata mak, beliau dan rakan-rakan yang lain mengalami sedikit batuk dan selsema gara-gara cuaca yang berdebu sekarang.
2. Dalam perbualan tersebut beliau bertanyakan tentang bungkusan air zam-zam yang beliau kirimkan melalui satu syarikat kurier tempatan. Dan ianya telahpun selamat sampai dan ada cerita disebalik proses penghantaran tersebut.
3. Emak telah menghantar bungkusan tersebut kira-kira dua minggu yang lalu dan beliau memberitahu saya bahawa beliau telah menulis nama dan alamat saya untuk tujuan penghantaran tersebut.Beberapa hari yang lalu kerani di syarikat tersebut telah menghubungi saya menyatakan bahawa barangan tersebut telah selamat sampai dan bertanya bila saya akan mengambilnya di cawangan mereka. Lantas saya menjawab 'saya akan datang ambil sendiri dalam masa satu atau dua hari lagi".
4. 24hb Disember merupakan tarikh di mana saya bergegas ke cawangan kurier tersebut dengan tujuan untuk menuntut bungkusan air zam-zam tersebut. Malangnya bungkusan tersebut tidak ada di pejabat kurier tersebut. Maka kelam-kabut pekerja mencari di mana letaknya bungkusan itu. Saya menghabiskan masa kira-kira 45minit menunggu para petugas mencari bungkusan yang telah 'hilang' dari simpanan mereka. Mengikut rekod atau slip penerimaan bungkusan tersebut belum lagi dituntut.
5. Setelah beberapa panggilan telefon dibuat akhirnya seorang mat dispetch syarikat tersebut mengaku telah memberi bungkusan tersebut kepada 'saudara' saya yang kebetulan datang menuntut kirimannya dan seterusnya menuntut barangan tersebut bagi pihak saya.
6. Pelik sungguh, satu syarikat yang sudah 'agak lama', tidak mengamalkan 'standard procedure' di dalam penyerahan bungkusan kepada penerima. Beliau dengan mudah menyerahkan bungkusan tersebut tanpa membuat sebarang pengesahan dari penerima asal di mana nama, alamat dan nombor telefon terang-terangan telah tercatat di slip penghantaran. Yang lebih 'membanggakan' beliau cuma mencatat nama dan tandatangan 'penerima ke dua' di satu lembaran kertas dan bukannya di atas slip penyerahan!
7. Dan yang paling lucu, orang yang baikbudi tolong mengambilkan bungkusan tersebut juga tidak langsung mempunyai inisiatif untuk membuat panggilan telefon atau sms menyatakan bahawa beliau telah 'membantu mengambilkan' barangan tersebut hinggalah ke saat ini.
8. Begitulah adanya, apabila tujuan baik kadang-kala tidak disusuli dengan tindakan yang sepatutnya.

No comments: